5 perangai guru di Malaysia yang kita takut nak diperkatakan. Dibandingkan dengan pelbagai jenis profesion, guru mempunyai kedudukan dalam masyarakat yang dianggap tinggi disebabkan sumbangan mereka dalam membesarkan dan mendidik kita semua. Tanpa guru atau cikgu, siapalah kita kan? Memang benar.
Walaupun begitu, jika kita selak dan selak dan selak, realitinya banyak aspek tugas perguruan yang seharusnya dibuka kepada kritikan kerana itulah realitinya. Tidak ada yang sempurna dalam institusi pendidikan. Guru juga adalah manusia, yang ada kesilapannya.
Jadi, apakah aspek kerjaya guru yang perlu kita akui memerlukan penambahbaikan secara besar-besaran?
1. Ketidakselarasan antara kata-kata dan tindakan guru.
Salah satu masalah yang dihadapi oleh pendidik adalah bahawa setiap tutur kata dan ucapan kita dalam mendidik dan mengajar anak murid kita sepatutnya mencerminkan perilaku kita juga.
Kita semua tahu di sekolah, guru-guru sering menasihatkan anak murid untuk menjauhi perbuatan buruk seperti merokok. Ada sekolah yang mengenakan denda atau mengusir pelajar jika tertangkap merokok atau menghisap vape.
Namun, bagaimana pula dengan golongan guru yang merokok di kawasan sekolah sehingga dapat dilihat oleh anak murid? Setiap sekolah pasti ada guru sebegini, yang biasanya menjadikan stor sukan sebagai ‘port’ utama mereka. Marah kepada anak murid yang merokok, tetapi mulut sendiri hmph..kuat bau tembakau.
Belum lagi kita ambil kira guru yang gemar menasihatkan anak-anak murid supaya bercakap dengan nada yang sopan dan tidak menjerit. Tetapi suara mereka yang paling jelas kedengaran ke seluruh kampung bila memarahi anak murid mereka yang tak reti duduk diam.
2. Guru yang membawa masalah rumahtangga ke sekolah
Salah satu masalah utama di kalangan guru di sekolah yang memberi bebanan kepada murid-murid adalah apabila guru yang menghadapi masalah rumah tangga tidak lagi dapat membezakan antara tugasan sebenarnya di sekolah dengan isu-isu yang berlaku di rumah.
Masalah ini kerap berlaku di mana-mana sekolah. Jika anda pernah menjadi seorang murid, pasti anda telah mengalami situasi sebegini. Penulis sendiri juga terkesan dengan masalah ini pada zaman belajar dahulu, di mana guru sains penulis sering gagal mengawal diri dan mengambil cuti akibat tekanan rumah tangga.
Apabila masuk ke dalam kelas, emosi guru menjadi kurang stabil. Sukatan mata pelajaran dihabiskan secara tidak sistematik. Kadang-kadang, dalam keadaan yang teruk, murid-murid pula dijadikan tempat luahan perasaan oleh guru sehingga habis terpakai waktu pembelajaran. Murid-murid kemudiannya menjadi tempat terapi bagi masalah-masalah guru.
3. Guru yang lebih sibuk dengan urusan luar sekolah
Siapa di sini semasa bersekolah, pernah mengalami ada guru yang sentiasa sibuk dengan urusan luar sekolah sehingga tidak memberi perhatian kepada apa yang berlaku di dalam kelasnya?
Kami yakin ramai akan mengangkat tangan.
Entah kenapa, setiap sekolah pasti ada satu atau dua orang guru sebegini yang lebih berminat untuk menjalankan aktiviti luar, sambil mengharapkan gaji sebagai guru terus berjalan.
Pelbagai aktiviti dilakukan oleh guru sebegini, jual itu, jual ini, menjadi ejen, menjadi perantara, menolong kawan. Pelbagai lagi senang cerita! Yang terabai adalah anak murid mereka. Jika masuk ke dalam kelas, mereka meminta pelajar membuka muka surat tertentu dan belajar sendiri.
Kemudian guru tersebut keluar untuk menyelesaikan urusan luar. Yang peliknya, guru sebegini pandai menarik hati pelajar. Mereka menjadi rapat dengan pelajar, sehingga tidak ada seorang pun pelajar yang mengadu bahawa guru tersebut tidak bertanggungjawab terhadap kerja.
Pelajar malu untuk membuat laporan, kerana guru sebegini disayangi.
4. Guru yang gila media sosial
Sebagai ibu bapa, pasti ada di antara anda yang berusaha keras untuk mengelakkan anak anda daripada terlibat dalam media sosial.
Kita melarang mereka daripada memuat naik apa-apa yang mendedahkan identiti mereka, kerana kita tahu media sosial bukanlah tempat yang sesuai bagi mereka.
Tetapi entah kenapa, ada guru yang tanpa segan-segan menggunakan anak murid sebagai kandungan, sama ada untuk perkongsian sehari-hari sebagai seorang guru, aktiviti kelas, atau sekadar video tarian suka-suka.
Dalam kes-kes guru yang terlalu mementingkan jumlah ‘like’ sebegini, kadang-kadang kertas jawapan anak murid yang dianggap lucu dengan mudah dimuat naik sebagai bahan kandungan.
Entah mengapa amanah yang diberikan oleh anak murid kepada anda dilanggar tanpa rasa tanggungjawab?
5. Guru yang tidak dapat diterima oleh anak muridnya
Dalam perbincangan yang lebih serius, kita perlu akui bahawa terdapat situasi di mana hubungan antara guru dan anak murid sukar dibentuk.
Walaupun seorang guru yang hebat, situasi di mana terdapat segelintir pelajar yang menghadapi masalah dalam menyesuaikan diri dengan guru yang diberi tanggungjawab untuk mendidik mereka perlu dilihat dengan serius.
Hal ini kerana akan timbul keadaan di mana pelajar tidak dapat menyesuaikan diri dengan guru, yang boleh menjejaskan pembelajaran anak murid atau lebih teruk lagi, membuatkan pelajar tersebut kehilangan minat untuk belajar subjek tersebut.
Pendapat lama sering kali menyalahkan pelajar tersebut, kerana jika 29 orang pelajar lain dapat menerima gurunya, mengapa dia seorang tidak dapat? Namun, itulah bukan penyelesaiannya, bukan?
Ingatlah semula zaman sekolah anda dahulu; pasti terdapat guru yang anda sendiri tidak suka sehingga prestasi anda terjejas, walaupun orang lain seronok belajar dengan guru tersebut. Dalam situasi seperti ini, tidak adil untuk menyalahkan pelajar DAN pada masa yang sama, juga tidak adil untuk menyalahkan gurunya.
Apakah solusinya? Entahlah. Jika ditanya kepada anak muda apa jawapannya, penulis akan menasihatkan mereka untuk bersabar, terus belajar, dan cuba yang terbaik walaupun mereka tidak begitu gemar dengan pendekatan guru mereka sepanjang masa di kelas.
Pada akhirnya, kita perlu terima bahawa akan ada anak murid yang tidak sehaluan dengan gurunya sehingga pendidikan mereka terjejas. Apa yang kita harapkan, impak tersebut hanya melibatkan subjek yang bermasalah sahaja dalam kadar yang minima.