4 sekawan tangkap ayam hutan terlalu banyak, lepas satu-satu diganggu, terpaksa buat perjanjian dengan ‘penjaga’

Photo of author

By Joe

4 sekawan tangkap ayam hutan terlalu banyak, lepas satu-satu diganggu, terpaksa buat perjanjian dengan ‘penjaga’. Mencari ayam hutan salah satu hobi aku untuk mengisi masa lapang. Namun, ada satu pengalaman yang pernah aku lalui masih segar dalam ingatan dan membuat aku lebih berhati-hati.

Kejadian ini berlaku pada tahun 2014. Ketika itu aku bersama Wak Por dan dua orang rakan (aku namakan sebagai Salleh dan Johar) keluar mencari ayam hutan di sekitar kawasan ladang di Parit Dua, Simpang Renggam, Johor.

Ketika itu, kami ternampak sekumpulan ayam hutan sedang tidur di atas pelepah-pelepah pokok kelapa sawit yang telah gugur. Perlahan-lahan aku dan Wak Por dan Zaki mengacukan senapang.

4 sekawan tangkap ayam hutan terlalu banyak, lepas satu-satu diganggu, terpaksa buat perjanjian dengan 'penjaga'

Pang! Pang! Pang! Beberapa das tembakan dilepaskan. Kawanan ayam hutan itu bertaburan lari. Beberapa ekor ayam jatuh rebah ke tanah. Kami segera berlari ke arah ayam itu dan menyembelihnya.

Dalam masa sejam menembak, hasil yang kami dapat itu boleh tahan banyak juga. Kami berempat mendapat lebih kurang sembilan ekor ayam setiap seorang. Kebiasaannya, kami tidak dapat sebanyak itu. Selalunya dalam tiga empat ekor sahaja.

Di situ juga kami siapkan kelengkapan masakan. Tiga ekor ayam kami masak di situ juga untuk dijamah manakala selebihnya dibawa pulang. Ayam hutan memang sedap. Isinya berbeza dengan ayam kampung dan ayam bela yang dijual di pasar. Dagingnya pejal tetapi lembut dan manis. Tambah pula makan di dalam kebun, memang menyelerakan. Menjelang petang, kami keluar dari kawasan ladang kelapa sawit itu dan pulang ke rumah masing-masing.

Dua hari kemudian, semasa aku sedang sedang berkebun, tiba-tiba badan terasa panas sejuk. Sendi-sendi mulai lemah. Sebab rasa lain macam, aku hentikan kerja dan pulang awal ke rumah.

Sampai di rumah, kepala pula terasa sakit. Aku terus telan beberapa biji ubat. Malam itu, aku tidak dapat melelapkan mata. Kepala terasa sangat sakit seperti hendak pecah. Badan pula menggigil-gigil kesejukan.

Puas aku baring ke kiri, ke kanan. Mengiring dengan macam-macam posisi, semua serba tak kena. Akhirnya aku duduk dalam keadaan kedua tangan memeluk kaki yang dilipatkan, manakala dagu disandarkan di atas lutut. Hanya dengan posisi begitu baru aku rasa selesa dan tidak sakit. Kalau diikutkan, posisinya itu seakan-akan seperti seekor ayam.

Keesokan harinya, demam aku masih tidak kebah. Selera makan pun hilang. Aku cuma mampu minum air kelapa muda saja. Keadaan itu berlarutan selama lima hari. Memang terasa seksa. Selera makan hilang, badan aku lemah. Paling perit semasa mahu tidur. Aku langsung tak boleh merebahkan badan. Aku hanya mampu tidur seperti ayam dalam keadaan duduk.

Hari keenam, kebetulan Wak Por menghubungi aku sebab dia hairan kenapa sudah lama aku tidak menelefonnya.

“Aku sakitlah Wak. Kau boleh tolong tak ?” pertanyaan aku itu terus membuatkan Wak Por datang ke rumah aku tak lama selepas itu.
Sebaik tiba di rumah, Wak Por tersengih melihat keadaan ku yang lemah. “Aku tahu kau ni kenapa. Aku pun dua hari demam. Mari sini aku ubatkan,” kata Wak Por.

Wak Por duduk di belakang aku dan membacakan sesuatu lalu ditepuk-tepuknya belakang badan. Beberapa kali Wak Por buat begitu, terus aku boleh bangun semula. Rasa sakit sendi hilang, badan terus rasa lega. Serta merta juga perut aku berkeroncong terasa lapar.

“Kenapa sebenarnya dengan aku, Wak?” aku bertanya.
“Kau kena ganggu. Ada benda kacau,” itu saja jawab Wak Por. Bila ditanya lebih lanjut, dia tak mahu jawab.

Kawan pula jatuh sakit

KEESOKAN harinya, aku dapat panggilan telefon memberitahu Salleh pula sakit. Dia asyik meracau-racau seperti disampuk sesuatu. Aku tak tunggu lama, terus hubungi Wak Por. Kami berdua terus ke rumah Salleh. Sebaik tiba, kami lihat dia sedang meracau-racau. Bila aku pegang, dia meronta-ronta minta dilepaskan.

Wak Por segera membaca jampi dan ditiupkan ke mukanya. Tidak semena-mena badannya terus lembik dan pengsan. Tak lama kemudian, Salleh sedar dan pulih semula. Ingatkan sudah habis, rupa-rupanya belum lagi.

Hari berikutnya, aku dapat panggilan lagi kali ini memberitahu Johar pula jatuh sakit. Dia demam panas hingga tidak dapat melelapkan mata. Kepalanya sangat sakit seperti mahu pecah.

Apa lagi, aku dengan Wak Por terus ke rumah Johar. Kali ini, lain sedikit. Sebaik kami sampai dan Johar bertentang mata dengan Wak Por, dia terus bangun.

“Pulangkan ayam aku!” kata Johar sambil memandang ke wajah Wak Por.

Wak Por dan aku diam seketika. Bagaimana mahu pulangkan, sedangkan ayam itu sudah tiada. Sudah disembelih dan dimasak.

“Kalau saya ganti ayam lain, boleh?” soal Wak Por.
“Tidak mahu! Pulangkan ayam aku!” katanya lagi.
“Macam mana kalau kita buat perjanjian?” kata Wak Por. Johar hanya diam.

Wak Por kemudian terkumat-kamit membaca sesuatu. Johar yang sedang dirasuk itu pula hanya mengangguk-anggukkan kepala. Aku sendiri tidak tahu apa yang dilakukan oleh Wak Por. Sebentar kemudian dia meniup ke arah Johar dan terus rakan kami itu rebah. Tidak lama selepas itu, baru Johar sedar semula.

Selepas itu, Johar bercerita kepada kami, semalam sewaktu mahu tidur dia melihat seorang lelaki bersongkok dan berpakaian kemas datang menemuinya.

“Lelaki itu minta aku pulangkan kembali ayamnya. Selepas itu, esok pagi datang lagi tiga orang lelaki bersama lelaki bersongkok semalam. Pun sama, dia masih minta ayamnya dikembalikan. Lepas itu, aku tak sedar dah apa yang berlaku,” cerita Johar.

Aku mula risau bila mendengar cerita Johar. Tak boleh buat main-main kalau sudah kami semua habis kena ‘kacau’.

“Habis macam mana, Wak?” aku bertanya kepada Wak Por.
“Tak mengapa. Wak sudah buat perjanjian dengan makhluk itu. Dia tidak akan ganggu kita lagi,” balas Wak Por.

Perjanjian apa? Kata Wak Por, perjanjiannya ialah di masa hadapan, Wak Por tidak boleh masuk sehingga ke bahagian hujung kawasan ladang itu. Wak Por hanya boleh mencari ayam hanya sekerat jalan. Sekiranya melanggar perjanjian, sesuatu yang buruk akan berlaku.

“Tapi kamu bertiga tak apa-apa. Kamu semua boleh masuk,” kata Wak Por kepada kami. Tapi, Salleh dan Johar dah angkat bendera putih. Mereka berdua sudah serik. Cukuplah itu kali terakhir mereka masuk ke situ mencari ayam hutan.

Sebelum kejadian itu, sudah banyak kali aku masuk ke kawasan itu mencari ayam hutan. Elok saja, tiada apa-apa berlaku. Tapi, mungkin pada hari kejadian itu kami semua jadi terlalu tamak.

Biasanya, kami hanya menembak di pinggir saja, tetapi pada hari tersebut kami masuk terlalu jauh ke dalam sebab sudah seronok lepas seekor, seekor demi seekor ayam terus mengena hingga kami jadi tamak.

Mungkin sebab itu ‘penjaga’ di situ marah apabila terlalu banyak ayam mereka kami ambil.

Sumber Mohd Zaki dari Johor Bahru.

Baca Lagi:
Kronologi pembuat roti canai wanita disamun dan dirogol sebelum dibunuh
3 MP BERSATU tukar tempat duduk dalam Dewan Rakyat jauh dari blok pembangkang
Nampak mewah dan selesa, rupanya hotel berhantu di Melaka, wanita dedah pengalaman di tingkat 11