24 ekor buaya sesat masuk kawasan perumahan gara-gara limpahan air sungai. Bandar Vadodara di Gujerat, India, baru-baru ini menghadapi ancaman apabila buaya-buaya dibawa oleh limpahan air Sungai Vishwamitri ke kawasan perumahan.
Apa yang mengejutkan adalah kehadiran reptilia tersebut berhampiran rumah penduduk.
Oddity Central melaporkan bahawa keadaan ini menyebabkan penduduk Vadodara perlu berwaspada terhadap haiwan berkenaan.
Video tular menunjukkan buaya tersebut berada di jalan dan di atas bumbung rumah. Video lain menunjukkan sekumpulan buaya berenang di terusan, dengan seekor daripadanya mengheret haiwan yang telah dibaham.
Sungai tersebut menjadi habitat kepada ratusan buaya air tawar.
Menurut The Hindu, sebanyak 24 buaya telah ditangkap di Vadodara antara 27 dan 29 Ogos lalu.
“Buaya terkecil yang kami selamatkan adalah sepanjang 0.61 meter (m), manakala yang terbesar sepanjang 4.3 m ditangkap pada Khamis dari Kamnath Nagar yang terletak di sepanjang sungai.
“Penduduk tempatan memaklumkan kami mengenai buaya besar itu.
“Dua buaya lain, sepanjang 3.35 m, turut diselamatkan pada Khamis dari Bulatan EME dan kawasan lapang berhampiran Jabatan Zoologi Universiti MS,” kata Pegawai Hutan Banjaran Vadodara, Karansinh Rajput.
Sungai Vishwamitri yang panjangnya 17 kilometer merentasi bandar Vadodara.
Mereka yang tinggal di sepanjang tebing sungai itu sudah biasa dengan pemandangan buaya di jalan raya semasa musim tengkujuh.
Bagaimanapun, tahun ini, sebilangan besar daripada reptilia tersebut terpaksa ditangkap dari kawasan perumahan.