21 tahun lelaki ini makan nasi dalam air sejuk untuk jadi jutawan. Seorang lelaki berusia 45 tahun di Jepun membuat keputusan untuk bersikap kedekut pada awal 2000-an demi menikmati kehidupan selesa selepas bersara, lapor portal berita MSNews hari ini.
Dia bekerja di sebuah syarikat yang memerlukan kerja lebih masa hingga lewat malam. Majikannya memberitahu bahawa kerja keras dan lebih masa adalah kunci kebahagiaan pada masa depan.
Lelaki tersebut kemudian hanya makan nasi dalam air sejuk untuk menjimatkan wang supaya boleh bersara awal. Dia menggunakan strategi menyimpan wang secara ekstrem.
Selama lebih 20 tahun, dia tinggal di asrama syarikat dan membayar sewa hanya 30,000 yen (RM901) sebulan. Lelaki itu juga menggunakan peralatan dan perabot terpakai untuk kediamannya.
Kadang-kadang, dia bergantung kepada minuman tenaga yang diperoleh melalui mata ganjaran di kedai serbaneka atau minum cola dan biskut sambil menonton filem bertemakan penjara. Ini kerana dia cuba membandingkan kesusahan yang ditempuh dengan hukuman penjara selama 20 tahun.
Akhirnya, dia berjaya menjadi jutawan setelah berjimat cermat selama 21 tahun. Dedikasinya membuahkan hasil awal tahun ini apabila dia berjaya menyimpan wang sebanyak 135 juta yen (RM4.05 juta) selepas hampir 21 tahun bersama syarikat itu.
Diilhamkan oleh gaya hidupnya yang berjimat cermat, dia mula menulis buku tentang menyimpan wang dan menambah pendapatannya.
Namun, kini dia berasa bimbang kerana simpanannya semakin berkurangan disebabkan nilai yen yang semakin menyusut.