2 pekerja bunuh majikan sebab sakit hati disindir ketika nak pinjam duit. Dua orang pekerja nekad membunuh majikannya selepas mereka tersinggung dengan kata-kata mangsa ketika cuba meminjam wang daripadanya, lapor laman berita Tribun News pada 25 Julai 2024.
Mangsa, Abdullah, 54, seorang penjual mi Aceh di Jalan Makmur, Pasar VII Tembung, Daerah Percut Seituan, Deli Serdang, maut dibunuh oleh dua pekerjanya pada hari Ahad awal bulan lalu (2/6/2024).
Kes pembunuhan itu terbongkar selepas ahli keluarga mangsa berasa curiga kerana gagal menghubunginya sebelum menemui mayat lelaki tersebut di rumahnya. Keluarga mangsa kemudian membuat laporan polis di balai polis Deli Serdang.
Pelaku dikenali sebagai Reza Adrian Siregar alias Reza, 34, yang tinggal di Jalan Letda Sujono, Kampung Bandar Selamat, Daerah Medan Tembung, berjaya ditangkap. Dia terpaksa menahan kesakitan di kedua-dua kaki selepas ditembak oleh polis kerana melawan ketika ditahan.
Sambil duduk di atas kerusi roda dan menahan kesakitan di kedua-dua belah kaki, Reza mengakui dia membunuh mangsa kerana berasa sakit hati dengan kata-kata peniaga mi Aceh itu.
“Saya sakit hati, sebab saya bekerja dengan dia kemudian minta IDR 100 ribu dan diberi IDR 50 ribu. Dia kata ‘kerja belum siap, awak tak ada otak’,” kata Reza kepada Tribun-medan pada Khamis (25/7/2024).
Video amatur menunjukkan bagaimana ahli keluarga mangsa menemui mayat lelaki itu yang telah mereput di dalam bilik rumahnya di Jalan Makmur, Desa Sumber Jaya Timur, Deli Serdang, Sumatera Utara, beberapa hari selepas gagal menghubunginya.
Ketua Polis Medan Tembung, Kompol Jhonsin Mangara Sitompul, berkata hasil siasatan mendapati mangsa dibunuh oleh dua orang pekerjanya sendiri.
Menurut pengakuan Reza, dia tidak membunuh mangsa seorang diri, tetapi bersama seorang lagi rakan.
“Saya pukul dia dengan botol sos tomato sekali di kepala. Apabila dia meronta-ronta, saya tarik dia masuk ke dalam bilik. Kawan saya pula pukul dia dengan botol sirap,” katanya.
Reza juga berkata, selepas kejadian, rakannya yang kini menjadi buruan, mengambil motosikal mangsa dan menjualnya sebelum melarikan diri ke Kemboja.