2 angkasawan terkandas di angkasa, mungkin tak dapat balik lagi ke bumi? Dua angkasawan yang terkandas di angkasa mungkin tidak dapat kembali ke Bumi sehingga 2025 disebabkan masalah yang dihadapi kapsul Starliner baharu Boeing, menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika (NASA) pada Rabu, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Kedua-dua anak kapal Starliner, angkasawan AS Barry Wilmore dan Sunita Williams, kini berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) sejak Jun, walaupun mereka pada awalnya hanya dijadualkan berada di stesen itu selama seminggu.
Selepas dilancarkan dari pusat angkasa lepas Cape Canaveral di Florida, kapal angkasa itu hanya dapat berlabuh dengan ISS pada percubaan kedua kerana masalah enjin.
Kapal angkasa tersebut juga mengalami kebocoran helium.
NASA memaklumkan bahawa dua pilihan sedang dipertimbangkan untuk membawa pulang angkasawan ke Bumi.
Pilihan pertama melibatkan pasangan tersebut kembali dengan Starliner, namun kapal angkasa itu perlu diperbaiki terlebih dahulu.
Pilihan kedua adalah menangguhkan dua daripada empat angkasawan dari misi SpaceX Crew 9, yang dijadualkan dilancarkan pada September. Wilmore dan Williams kemudian boleh kembali ke Bumi bersama kru pada Februari.
Keputusan muktamad mengenai perkara ini akan diputuskan selepas NASA menyelesaikan semakan kesediaan pelancaran peringkat tertinggi.