12 kali gagal ujian memandu, sekali ini yang dilakukan lelaki ini. Seorang lelaki asal Ghana yang tinggal di Belgium menjadi terdesak untuk mendapatkan lesen memandu selepas dia gagal sebanyak 12 kali.
Disebabkan itu, Serge yang tinggal di Grammont membuat keputusan untuk menipu bagi mendapatkan lesen dengan mencari individu yang mempunyai raut wajah hampir serupa dengannya untuk mewakilinya menjalani ujian memandu.
Usahanya berhasil apabila Serge bertemu dengan seorang lelaki bernama Julien yang juga pendatang dari Congo.
Julien sudah mempunyai lesen memandu Belgium, malah wajahnya hampir serupa dengan Serge.
Kedua-duanya kemudian bersetuju untuk mengambil ujian memandu di Wallonia, namun rancangan mereka tidak berhasil sebaik sahaja Julien menyerahkan kad pengenalan Serge kepada pegawai pemeriksa.
Pegawai itu dapat mengesan perbezaan pada wajah mereka dan melaporkannya kepada polis.
Kedua-duanya ditahan dan Serge berdepan hukuman penjara setahun kerana melakukan penipuan, manakala Julien pula didenda dan perlu melakukan perkhidmatan komuniti.